Alhamdulillah…majlis penutup bulan
kemerdekaan SKSR telah berjaya dilaksanakan…Tahniah buat buat semua guru dan
murid murid…
Tarikh 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai satu tarikh yang penuh
bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia tidak mengira usia, keturunan, bangsa
dan agama. Sesiapa sahaja yang merupakan rakyat Malaysia akan berasa bangga
apabila tiba sahaja hari terakhir di dalam bulan Ogos ini.
Jika dahulu sambutan mungkin dijalankan hanya pada tarikh 31
Ogos ini, tetapi kini sambutannya adalah selama sebulan. Sambutan kemerdekaan
selama sebulan ini, yang dikenali sebagai Bulan Kemerdekaan, diadakan bagi
tujuan mengingatkan kembali pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang
untuk memastikan anak cucu mereka (iaitu kita semua yang ada hari ini) dapat
hidup dalam suasana bebas, aman, makmur dan merdeka. Itulah harapan generasi
pejuang kemerdekaan agar keturunan mereka tidak akan dijajah dan dibelenggu
oleh kuasa luar.
Sebenarnya, perkara yang lebih utama dalam menyambut ulang tahun
kemerdekaan negara ini adalah bagi semua rakyat Malaysia untuk menterjemahkan
sambutan ini ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan,
laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat Malaysia tidak
menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan
perkataan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!, tetapi juga bermaksud penghayatan
dan pemahaman maksud dan kepentingan kemerdekaan yang dikecapi ini. Kesedaran
tentang kemerdekaan bukan sahaja bermakna kita tahu bila dan di mana sambutan
kemerdekaan diadakan, tetapi juga bermakna kita sedar bahawa kemerdekaan ini
wajib dipertahankan kerana negara kita boleh dijajah kembali. Mensyukuri
kemerdekaan bukan sahaja bererti kita gembira dengan kemerdekaan yang dikecapi,
tetapi juga bererti kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. atas
anugerah kemerdekaan yang begitu berharga ini.
No comments:
Post a Comment